Remaja Chef Challenge 2026 Melabuhkan Tirai

11 September 2026, Jumaat – Seramai wakil daripada lima buah sekolah telah menyahut cabaran Remaja Chef Challenge 2026 dengan menghantar Johan dan Naib Johan dari setiap sekolah untuk berentap di peringkat akhir. Pertandingan ini berlangsung di Terengganu Trade Centre (TTC), Kuala Terengganu, bersempena Market Innovation Showcase 2026 anjuran Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Pada pusingan pertama, peserta diberi kebebasan untuk memilih dan menyediakan hidangan menggunakan produk Rempah Cap Bunga Rose mengikut kreativiti masing-masing untuk dipersembahkan kepada barisan juri. Empat kumpulan dengan markah tertinggi berjaya melayakkan diri ke pusingan kedua. Lebih menarik, dua kumpulan wakil dari SMK Padang Negara berjaya menduduki kedudukan teratas, diikuti wakil dari SMK Sultan Mansor dan SMK Tengku Bariah.
Memasuki pusingan kedua, peserta berdepan cabaran bertemakan ‘Blind Box’, yang menguji kreativiti, kemahiran memasak dan kebolehan mereka menyesuaikan diri dengan bahan yang diberikan. Peserta perlu menghasilkan hidangan menggunakan produk Rempah Cap Bunga Rose bersama bahan mentah yang terkandung dalam kotak ‘Blind Box’.
Hasil kreativiti dan persembahan yang memukau, wakil SMK Padang Negara, Nur Amalin Qasrina binti Mohd Shahril dan Nurisya Qumaira binti Mohd Rahimie, berjaya dinobatkan sebagai Johan Remaja Chef Challenge 2026. Kejayaan ini turut dilengkapkan oleh rakan seperjuangan mereka, Muhammad Kahruddin Iqhwan bin Mohd Kahhayat dan Muhammad Kamarulzaqwan bin Abdullah, yang meraih gelaran Naib Johan.
Sementara itu, tempat ketiga menjadi milik wakil SMK Sultan Mansor, Ayuni Basheerah binti Azmi dan Nur Nabila Zahra binti Mohd Riza, menerusi hidangan unik mereka, Spaghetti Gulai Ayam. Hidangan ini menyerlahkan kreativiti peserta dalam mengolah produk rempah tradisional kepada sajian yang lebih moden dan menarik.
Secara keseluruhannya, Remaja Chef Challenge 2026 bukan sahaja menjadi medan persaingan untuk mencungkil bakat memasak dalam kalangan pelajar, malah membuka ruang kepada mereka untuk meneroka kreativiti, membina keyakinan diri dan mengasah kemahiran kulinari dengan menggunakan produk tempatan.
Dengan berakhirnya peringkat akhir ini, Remaja Chef Challenge 2026 secara rasmi melabuhkan tirainya, menutup satu perjalanan yang penuh dengan semangat, kreativiti dan bakat generasi muda. Semoga pengalaman ini menjadi inspirasi kepada para peserta untuk terus mengembangkan potensi diri dan mencipta lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.




Komen